Tabung ayam

.......

Saturday, March 5, 2011

Kecederaan bahu

Kecederaan bahu
Oleh Hafizah Iszahanid
hafiza@bharian.com.my
2010/03/14

Sendi berisiko terkehel, koyak dan perlu dibedah jika serius

KITA jarang memberi perhatian kepada kesihatan bahu, sehinggalah berdepan masalah seperti bahu terkehel atau akibat cedera.
Malah berbanding sendi lain, bahu disifatkan sendi paling stabil. Namun bahu seperti juga lutut, turut berdepan risiko koyak atau kecederaan, selain keadaan atau fungsinya yang merosot akibat penuaan.

Di sebalik kestabilannya, sendi bahu yang kerap bergerak setiap kali lengan digerakkan juga berpotensi untuk tercedera.

Kebanyakan masalah pada bahu membabitkan otot, ligamen dan tendon berbanding kekerapan masalah yang berpunca daripada tulang bahu.

Di kalangan ahli sukan misalnya, masalah kecederaan bahu selalunya berlaku secara perlahan disebabkan rutin latihan yang intensif.

Pakar Runding dan Bedah Ortopedik, Trauma dan Kecederaan Sukan, Hospital Pakar Shah Alam, Dr Ariff Sukimin Mohd Shukti, berkata kecederaan pada bahu juga disebabkan kerja seharian, selain berpunca daripada masalah penuaan seperti yang kerap ditemui dalam kes kecederaan rotator cuff (kumpulan otot dan tendon yang bertindak menstabilkan bahu).
Malah, secara umumnya, kes kecederaan rotator cuff lebih kerap ditemui pada golongan lanjut usia.

“Masalah kecederaan pada bahu boleh jadi serius atau kecil (minor). Antara simptomnya rasa sakit, bengkak, kebas, lemah dan perubahan warna atau suhu di bahu.

“Jika setakat masalah kecil boleh dirawat di rumah tetapi masalah yang serius memerlukan rawatan di hospital,” katanya.

Dr Ariff Sukimin berkata, kecederaan bahu boleh dibahagikan kepada beberapa jenis bergantung pada punca dan jenisnya. Justeru, rawatan yang diberikan banyak bergantung pada keadaan kesakitan yang dialami.

“Bagi kes ringan, ia boleh ditangani dengan pemberian steroid dan fisioterapi, manakala kecederaan yang serius memerlukan pembedahan,” katanya.

Antara contoh kecederaan pada bahu ialah seperti:
• Bahu terkehel atau beralih (separated shoulder)

Bahu terkehel adalah masalah biasa sendi tubuh. Untuk bahu, kecederaan ini bermaksud bahagian atas bilah bahu bertemu dengan hujung tulang bahu (collarbone) atau sendi acromioclavicular. Bahu beralih adalah koyakan atau regangan satu atau lebih ligamen pada sendi ini.

Keadaan ini umumnya tidak memerlukan pembedahan sebaliknya cukup dengan pengambilan ubat dan meletakkan ais. Selalunya selepas beberapa minggu keadaan akan pulih. Gejala bahu teralih boleh dilihat berdasarkan tanda seperti rasa sakit atau lemah pada bahu dan lengan, bahu yang bengkak atau lebam, pergerakan bahu yang terhad atau bengkak pada bahu.
• Koyakan pada otot bahu (rotator cuff)

Rotator cuff ialah kumpulan otot dan tendon di bahu. Otot dan tendon ini berkait dengan bahagian atas tulang lengan dan bilah bahu. Ia berfungsi memegang bebola bahagian atas lengan untuk melekat kemas pada soket bahu. Kecederaan rotator cuff termasuk kerosakan atau rengsa pada otot rotator cuff atau tendon.
• Sindrom Impingement

Kerap dikaitkan sebagai masalah warga tua. Sindrom Impingement merujuk kepada masalah penyempitan ruang rongga laluan otot. Penyempitan akan menyebabkan radang pada otot yang melalui ruang itu. Tanpa rawatan ia akan menyebabkan koyakan pada rotator cuff.
• Osteoarthritis pada sendi acromioclavicular

Berlaku kehausan pada rawan sendi acromioclavicular yang disebabkan aktiviti lasak seperti angkat berat, kerja berat seperti berkebun atau bekerja dalam industri berat. Rawan pada sendi perlahan-lahan merosot. Masalah ini boleh berlaku pada semua peringkat usia.

Simptom
• Bahu berasa sakit dan kesakitan itu berpanjangan
• Sukar mengenakan pakaian
• Bengkak pada bahu
• Rasa kebas pada bahu
• Bahu berasa lemah
• Perubahan warna atau suhu di bahu

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...