Tabung ayam

.......

Saturday, January 22, 2011

Terima Kasih Pahit!

Semua pernah kecewa, terjatuh walaupun setakat jatuh tangga, menangis walaupun setakat tak dapat gula-gula tapi semua ni meninggalkan kesan dalam hati kita. Sakit dan geram! Mungkin kita akan ingat samapi bila-bila siapa yang buat kita macam tu dan mungkin kita akan balas balik.

“Nanti kau!”

“Siaplah kau!”

Semua ni akan terluah secara automatik tanpa ada alat kawalan yang kawal kita. Masa ni kita dalam keadaan yang tidak sedar. Dan ikutkan emosi yang dirajai nafsu dan amarah.

Anas r.a merawikan dari Rasulullah SAW, baginda bersabda,

“Ada empat hak orang muslim yang ada padamu; Kau tolong mereka yang baik, kau minta diampunkan mereka yang berdosa, kau doakan mereka yang berdosa, kau doakan mereka yang telah meninggal dan kau suka pada gantinya.”

Pengertian bagi bekas kasih dia antara mereka, menurut Ibnu Abas r.a ialah yang baik mendoakan yang jahat dan yang jahat pun mendoakan yang baik. Jika orang jahat itu melihat kepada umat Muhammad yang baik, dia berdoa, Ya Allah, berilah berkah kebaikan yang telah kau berikan kepadanya serta tetapkan ia untuknya, serta berikanlah manfaatnya kepada kami,” Lalu jika orang baik melihat kepada orang jahat, dai berdoa, “Ya Allah, tunjukkan dia, terimaah taubatnya, ampunilah dosanya!” Dan hendaklah seorang hamba menyukakan kepada orang mukmin dengan apa yang dia sukai serta menghindarkan dari mereka apa yang dia tidak sukai.
Titisan ilmu ini saya petik dari buku Penenang Jiwa, Pengubatan dan Rawatan oleh Imam al-Ghazali berdasarkan terjemahan kitab Mukashafah Al Qulub.

Kita tidak boleh meninggalkan cap kepada mereka yang pernah berbuat sesuatu yang tidak baik kepada kita yang kita harus bermusuh dengan kita. Orang yang berhemah akan sentiasa berbuat baik dengan insan yang pernah pijak dirinya. Berhemah walaupun disakiti. Terus bermusuhan juga tak akan ada penamatnya.

Saya teringat pesanan mak cik saya merangkap ibu angkat saya, dia berpesan, “Kita kena kuat! Biar orang buat kita tapi jangan kita buat orang!” Dan kata-kata ini saya pegang hingga sekarang dan memang benar. Ini yang buat kita kuat dari dalaman sebenarnya. Dan saya kini berpegang pada falsafah hidup saya, Jangan dibenci yang pahit tetapi berterima kasihlah kepada pahit kerana tanpa pahit, manis akan menjadi tawar.

Tidak semua peristiwa hitam dalam hidup kita membawa yang tidak baik tetapi ada juga peristiwa hitam yang akan menaikkan semangat diri kita. Berterima kasihlah kepada insane yang membuat kita sakit kerana kehadirannya mematangkan kita. Bersabarlah kerana sabar itu kekuatan yang tiada ternilai keagungannya.

Bersamalah kita ke arah muslim sejati....

Manusia tidak pernah puas..

“Aku nak macam ni juga!”
“Kenapa macam ni pulak?”
“Kenapa aku sakit ni?!”
“Lain yang aku minta, lain pulak yang datang!”
Soalan-soalan lazim yang mungkin ditutur bicara kita apabila tidak dapat apa yang kita inginkan. Manusia memang tidak pernah puas dengan apa yang kita ada. Makin diberi semakin meminta. Apa yang kurang pun tak tahu.
Kadang-kadang kita rasa nikmat yang diberi-Nya tidak pernah cukup. Kenapa? Tapi pernah tak kita rehat sebentar dan berfikir sejenak, pernah tak Allah berkira dengan kita? Dia beri kita oksigen tanpa kita pinta. Dia beri tubuh badan untuk bergerak, tetapi pernah tak kita bersyukur dengan semua ni? Semua ni terjadi tanpa kita sedar. Seharusnya kita sentiasa bersyukur dengan apa yang kita dapat.
Firman Allah SWT:
“Maka ingatlah kamu kepada-Ku, nescaya Aku ingat kepadamu. Dan berterima kasihlah kepada-Ku dan janganlah kamu menyangkal nikmat-Ku” (Surah Al-Baqarah, ayat 152)
Berterima kasihlah atas segala nikmat yang kita peroleh tidak kiralah sepahit mana ujian atau semanis mana nikmat yang kita peroleh. Bersyukurlah dengan apa yang kita dapat walaupun tanpa dipinta kerana mungkin apa yang kita pinta belum lagi dimakbulkan tetapi jangan pula berputus asa untuk terus meminta.
Bagaimana ingin meminta? Dengan cara berdoa sahaja tetapi melakukan apa yang Dia tidak suka? Kita harus mengubah diri kita dahulu. Sedikit demi sedikit dan berterusan adalah lebih baik berbanding berubah secara drastik tetapi dalam tempoh yang seketika. Saya sendiri banyak kali alpa. Bila beroleh apa yang diinginkan, semua yang dijanji terlupa sebentar. Saya sendiri dalam proses membaiki kelemahan diri.
Permintaan kita didengari oleh Allah. Jangan pernah kecewa untuk terus berharap kepada-Nya. Dan jangan pula kita terlupa kepada-Nya bila telah berjaya kerana segala nikmat itu dengan izin-Nya jua. Dan nikmat-nikmat itu bersifat sementara. Hanya kekal di dunia dan untuk akhirat nanti sama-samalah kita menuainya. Insya-Allah. Dunia akhirat berjaya dalam genggaman kita.
Alhamdullilah untuk segala nikmatMu Ya Allah.....

Friday, January 21, 2011

Aku gagal lagi...............

Putus asa.  Berhenti daripada melakukan sesuatu kerana merasakan kegagalan.  Kegagalan yang kita rasakan umpama sebuah batu yang amat besar yang diletakkan atas bahu kita dan tidak tergalas rasanya beban itu.  Apa yang kita mahu lakukan saat itu adalah melepaskan batu itu ke tanah dan pergi dengan senang hati. 
Ya!  Saya sendiri banyak kali gagal.  Gagal dalam belajar, hidup dan perhubungan.  Rasa sakit yang teramat sangat dan hanya kita sahaja yang tahu betapa sakitnya menusuk dihati.  Tiada siapa yang tahu dan kita berjalan sendiri.
Bagaimana ingin membuang rasa putus asa ini??  Bunuh diri?  Pergi dari insan yang kita kasihi atas sebab tak nak susahkan mereka?  Mengapa hal ini berlaku??  Siapa kita sebenarnya?  Kenapa kita disini? Ada sebab?  Atau sahaja-sahaja?
Sahabat...
Mari kita selami sejenak, siapa kita.  Sebelum itu, mari kita cari sebab atas apa jua yang kita lakukan dalam kehidupan kita tidak kiralah kerap ataupun tidak kita melakukan sesuatu perkara itu. 
Masa kita bayi, kita menangis.  Mengapa?
Masa kita nak sesuatu, kenapa kita bercakap bila hendakkan sesuatu?
Kenapa kita berjalan?
Bila kena kejar anjing, kenapa kita lari?
Bila kita sedih, kenapa kita nangis?
Bila suka, kenapa kita ketawa?
Bila kita nak dapatkan duit, kenapa kita kerja?
Kalau kita selongkar semua ni, semakin banyak persoalan yang perlu kita jawab dan yang paling utama, mengapa kita dijadikan?  Dari mana dan untuk siapa?  Andai kita tahu jawapan bagi semua persoalan ini, maka, tiada sebab mengapa kita ingin berhenti setengah jalan apabila kegagalan menjengah.
Kegagalan hanyalah ujian.  Dan ujian ini diberikan oleh Pencipta kita iaitu Allah SWT untuk menguji setakat mana ketaatan dan keimanan kita.  Dan ini merupakan tanda kasihnya kepada kita.  Dengan ujian, hubungan kita kepada Allah juga akan semakin dekat.  Terbukti benar!  Bila kita berada dalam keadaan kesusahan sudah pasti kita akan meminta bantuan sesiapa sahaja yang mampu membantu kita.  Dan bila saat ini tiba, doa merupakan jambatan permintaan kita kepada Alah.  Hubungan kita dengan dirinya juga akan semakin rapat.  Tetapi kita tidak pernah sedar ini semua.
Saya banyak kali gagal.  Putus asa?  Hanya air mata sahaja yang menemani tetapi bila ayat-ayat Allah bermain ditelinga, tenang dan terasa damainya.  Azan seumpama satu terapi menenangkan jiwa.  Alangkah bahagianya jika jiwa dan hatiku sentiasa begini.  Inilah kata-kata yang mampu saya rasakan ketika masalah melanda dan barulah saya sedar bahawa Allah tidak pernah membiarkan hamba-Nya keseorang tanpa tempat untuk bertaut.
Menangislah sepuasnya wahai sahabatku ketika berdoa.  Buang jauh-jauh rasa ego itu.  Tunduklah dengan rendah diri tanpa menghiraukan ego kita yang semakin lama memakan diri kita sendiri.  Kerana ego itu kita lemah.  Doa adalah senjata bagi setiap muslim. 
Allah SWT berfirman:
“Dan janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah SWT.”  (Surah Yusuf, ayat 87)
Allah sentiasa dengan kita cuma kita yang sentiasa meninggalkan Dia.  Bersama-samalah kita merawat hati kita apabila berdepan dengan kegagalan.  Ingat kembali mengapa kita dijadikan.  Kita akan kembali kepada Allah.  Kita dijadikan hanyalah untuk taat kepada Allah.  Dunia ini hanyalah persinggahan sementara dan tempat kita mencari bekalan untuk perjalanan kita yang seterusnya.  Hanya itu.  segala kesakitan di dunia ini hanya ujian.  Dunia umpama sebidang tanah untuk kita bercucuk tanam dan hasilnya kelak, kita akan tuai di akhirat nanti.  Adatlah andai tanaman kita ada yang mati atau diserang dengan haiwan perosak, tetapi apabila kita berjaya merawat pokok-pokok ini dengan baik, sudah pasti ia akan membuahkan hasil yang lumayan.
Allah sentiasa dengan kita.......

Thursday, January 20, 2011

Martabat, Darjat, Pangkat, Nama........

Siapa antara kita yang tidak mahu darjat?  Pangkat?  Nama?  Semua manusia menginginkannya tetapi darjat, pangkat dan nama yang bagaimana??  Adakah sekadar di dunia ini dan di akhirat nanti kita mengemis simpati??  Atau di dunia kita sekadar yang mampu dan akhirat nanti kita bahagia??  Atau di dunia dan akhirat kita dipandang mulia???  Atau dunia akhirat kita sama sahaja??  Dimanakah kita??
Saya ingin memetik firman Allah SWT:
“Wahai orang-orang yang beriman, jangan kamu lalai kerana harta benda dan anak-anakmu daripada mengingati Allah.  Barangsiapa berbuat demikian itu.  maka mereka orang yang merugi.”  (Surah Munafiqun, ayat 9)
“Sesungguhnya harta bendamu dan anak-anakmu menjadi cubaan bagimu.  Allah di sisi-Nya pahala yang besar.”  (Surah at-Taghabun, ayat 15)
Dalam sabda Rasulullah SAW:
“Gila harta dan kedudukan, kedua-duanya menumbuhkan kemunafikan dalam hati bagaikan air menumbuhkan sayuran.”
“Dua serigala di kandang kambing tidak lebih membuat kerosakan daripada gila kehormatan, harta dan kedudukan dalam agama seorang muslim.”
Demikianlah peringatan demi peringatan buat kita yang sering alpa.  Apa yang kita kejarkan sangat dengan semua itu??  Semua itu tidak pernah kekal.  Semua pangkat, nama, darjat, martabat dan pujian hanyalah untuk Allah SWT.  Mengapa ini yang kita kejar sedangkan akhirat semakin meninggalkan kita dan kita pula semakin asyik diulit keduniaan.
Sahabat??
Semakin meningkat usia kita, semakin singkat masa yang kita punya. 
“Andai kau kejar dunia, dunia akan datang kepadamu.
Andai kau kejar akhirat, akhirat dan dunia akan datang kepadamu...”
Mengapa tidak kita kejar akhirat dimana itulah tempat kembalinya kita nanti.  Semua makhluk-Nya akan kembali ke sana.
Perlukah layanan yang berbeza diberikan kepada insan yang berlainan pangkat?  Mengapa kita boleh berkongsi macam-macam dengan orang yang berlainan agama dengan kita tetapi sama darjat tetapi dengan saudara seagama dengan kita, kita tidak mampu berbuat demikian?
Kita boleh berkongsi makanan, alatan malah tandas juga dengan semua insan atau individu walaupun berlainan agama tetapi dengan saudara seagama dengan kita sendiri kita tidak endahkan.  Wajarkah???  Hal ini berlaku atas dasar kita berlainan darjat!  Mengapa?!
Kita ambil ikhtibar dari perjalanan sejarah di negara kita.  Bagaimana pihak penjajah menjajah negara kita dahulu.  Jepun dan British memberikan pangkat dan nama kepada orang tempatan kerana mereka tahu itulah punca kelemahan kita dan mampu membuat kita berpecah belah dan tidak bersatupadu.  Mengapa semua ini berlaku?  Hanya disebabkan satu landasan di dalam hati iaitu “Aku mahukan penghormatan!”  Apakah tanpa nama, darjat dan pangkat kita tidak mampu beroleh penghormatan?  Tidak!  Andai nama, pangkat dan darjat setinggi gunung tetapi akhlah, budi bahasa dan sahsiah tiada, semua itu tiada gunanya!  Kita tetap akan dipandang rendah dalam komuniti.
Seharusnya kitalah yang membantu saudara-saudara kita ini.  Sekiranya mereka tidak makan, kita bantulah dengan berkongsi makanan dengan mereka.  Sekiranya mereka sedang dalam masalah, bantulah sedaya yang kita mampu.  Laksanakan solat bersama-sama tanpa perlu membeza-bezakan kawasan solat.  Belum pernah saya bertemu dengan kawasan solat yang dipisah-pisahkan mengikut pangkat atau nama dalam mana-mana agama.  Perlukah???  Bukankah kita semua akan kembali ke tempat yang sama dan hanya akan membawa kain yang sama.  Kain yang berwarna putih!  Itu sahaja.  Perlukah perbedaan antara semua ini?  TIDAK!!
Amalkan sikap saling menghormati dan sedarlah kita semua sama sahaja di mata Allah SWT.  Tiada bezanya.  Pangkat, nama, martabat dan darjat hanya keka di dunia dan belum tentu di akhirat nanti kita akan beroleh hal yang sama.  Yang membezakan kita nanti di akhirat adalah amalan kita.
Saudara-saudaraku...
Marilah kita sama-sama bersatu kembali dengan mengetepikan semua ini.  Penghormatan itu akan datang dengan sendirinya kepada kita sekiranya kita mampu menjaga diri, agama, sahsiah, akhlak dan keperibadian diri kita dengan baik.  Bersatupadulah agar agama kita tidak terus berrongga dengan rongga-rongga yang mampu menjadi parasit dan virus runtuhnya perpaduan kita.  Saya mengingatkan diri saya sendiri dan semua saudara agar kita tidak terus hanyut dengan keduniaan tetapi sebaliknya iaitu kita sama-sama mengejar akhirat dan beroleh pangkat, nama, darjat dan martabat yang mulia di akhirat nanti.  Dunia sekadar persinggahan untuk kita mencari bekalan.  Hayat kita tidak lama lagi.  Hargai masa yang ada sebaiknya dan penuhi dengan perkara-perkara yang membahagiakan diri kita dan juga orang disekeiling kita.  Insya-Alah.  Aminnnn..

Saturday, January 8, 2011

Kita Serupa

Hari ini nak keluar. Pergi Tesco. Kononnya nak sambut hari lahir sendiri. Tua dah aku ni. Keluar dengan dua sahabat. Hari bermula sendiri. Tanpa diminta ia akan hadir dalam hidup ini. Harap hari pertama menjejak kaki ke angka baru bermula dengan baik.

Tidak lama kami berjalan-jalan. Hanya ingin menikmati ABC..Haha...Tunggu pakcik ambik kami. Alahai pak cik ni.. Lambat pulak. Tak pelah. Kami berteduh dibawah sepohon pokok rendang. Lebat daunnya. Pelik lihat pohon ini. Pokok yang sama tetapi mempunyai seribu satu warna yang berbeza. SubhanaAllah...Hati ini tersentuh melihat keajaibanNya.

Apa yang ingin saya kongsikan harap dapat dijadikan panduan bersama. Bukan ingin 'menembak' mana-mana pihak tetapi ini yang lihat. Sekadar berkongsi.

Tidak jauh dari tempat kami berteduh sementara menunggu pak cik, sepasang suami isteri sedang berbicara. Avanza berwarna emas menjadi pilihan mereka. Sedikit bertengkar tetapi menerusi pandangan kasar saya, itu adalah lumrah. Tanpa pahit, manis akan menjadi tawar. Saya hanya memandang dengan ekor mata. Mungkin bila aku dah kahwin, aku pun macam tu juga. Hanya hati berbicara sendiri. Isterinya memandang ke arah kami. Badannya sangat kurus. Seperti sedang menggendong penyakit yang memakan dirinya. Saya melemparkan senyuman.

Wanita tersebut membuka langkah ke arah kami. Hati mula tidak sedap. Wajah sugul wanita itu memberi seribu jawapan buat diri yang sedang tercari-cari jawapan. Kenapa pula ni??? Saya dan sahabat menguatkan diri untuk melemparkan senyuman walaupun hambar.

"Assalamualaikum dik... Mak cik nak minta tolong..."Wanita itu memulakan kata. Langkah katanya disusun lemah.

"Waalaikumusalam. Ya..Apa dia mak cik?" Kami cuba untuk berbicara sebaiknya.

"Mak cik nak pinjam handphone boleh? Mak cik nak telefon klinik ni. Tadi mak cik datang sana nak ambik ubat tapi mak cik kurang duit. Kebetulan kredit makcik tak ada. Boleh tak mak cik nak pinjam sekejap? Nanti mak cik bayar balik."Mak cik tersebut seperti mengharap dengan seribu harapan yang tidak pasti lagi dari kami.

Hati berat untuk memberikan pertolongan kerana kelihatannya wanita ini seperti tidak boleh dipercayai.

"Mak cik gunalah telefon ni ya?" Kami berharap wanita ini tidak mempermainkan kami. Suaminya memandang kami dengan mata yang menunjukkan ketidakpuashatiannya kepada kami. Saya hanya memandang walaupun hati kecil saya dihantui perasaan takut.

"Awak!!!Sini!!!Saya kata sini!!!"

Agak terkejut dengan tengkingan lelaki itu. Kami seperti hilang arah. Wanita itu juga sedikit terkejut.

"Sabarlah..Saya nak cuba telefon dulu." Wanita itu cuba memujuk suaminya dengan suara yang lembut tetapi nampaknya, amarah yang terbias dari wajah suaminya.

"Saya cakap ke sini!"

Mak cik tadi tetap mencuba untuk menelefon klinik tersebut malangnya tiada jawapan. Dia mengembalikan handphone kepada kami. Tidak pula dia kembali kepada suaminya malah duduk bersama kami. Juraian air matanya mulai menitis. Tanpa sebab yang kami pasti.

"Pak cik kamu tu macam tulah. Tak reti nak bersabar. Marah mak cik je." Kata-katanya terhenti di situ. Kami hanya mendengar dan memandang.

"Mak cik ni sakit. Kanser. Ubat mak cik tu mahal. Ubat tu baru habis. Mak cik tak ada duit nak beli. Tadi mak cik pengsan. Pak cik marah mak cik lagi." Air matanya terus mengalir.

Saya hampir menangis tetapi saya cuba tabah. Kami kelu untuk berkata-kata. Terlalu tersentuh dengan kesabaran wanita ini.

"Terima kasih nak ya? Mak cik dah tak tahan dengan sakit ni. Pak cik kamu tu lagi............... Mak cik orang susah."

"Sabar ya mak cik. Kami minta maaf. Kami tak dapat tolong apa-apa..." Hanya kata-kata ini yang kami mampu luahkan.

"Awak! Saya kira sampai tiga! satu...dua...."

Lelaki itu memanggil isterinya seperti wanita itu tidak berperasaan. Kalau diikutkan hati, ingin sekali kami membawa mak cik ini lari. Geram melihat wajah tidak berhati perut lelaki itu! Belum sempat kiraan ketiga, wanita itu melangkah pergi dari kami. Hanya senyuman yang dapat diberikan kepada kami sebagai tanda perkenalan.

Kami saling berpandangan. Hanya Allah yang mengerti apa yang kami rasakan. Pak cik tiba. Kami pergi dengan hati yang tidak rela. Entah apa nasib wanita itu. Tapi saya tetap memuji hatinya.

Saudaraku...
Mengapa ini yang terjadi?? Wanita dan lelaki adalah dalam aras atau tahap yang sama. Punya hati dan perasaan. Tetapi apa yang dapat kita lihat kini, mengapa maruah dan kedudukan wanita diinjak tanpa belas? Bukan saya ingin menyebelahi wanita tetapi ini realiti. Ada juga lelaki yag diinjak teutama ditempat kerja. Sekiranya lelaki itu dibawah majikan wanita, kedudukan lelaki itu dipandang rendah dan tidak pula dihormati.

Wanita?
Kita semua sama. Jangan kerana wanita sentiasa disimbolikkan sebagai lemah, kita harus membiarkan insan lain memijak kita sewenangnya dan bila kita di atas, jangan pula ingin menguasai lelaki. Kita semua sama.

Lelaki..
Pandanglah wanita sebagai rakan seperjuangan. Jangan biarkan ego menguasai diri. Perlu ada toleransinya dan kehidupan akan terus harmoni.

Suami...
Hargailah isterimu selagi punya waktu.. Dalam tidak sedar, dia banyak berkorban untuk dirimu... Jadikan isterimu sahabat dan rakan yang paling rapat dengan dirimu. Hargai segala titis peluh pengorbanan untuk dirimu...

Isteri..
Jangan kau pinta sesuatu yang tidak suamimu mampu. Jangan kau kasari jiwanya. Dia juga insan yang sama seperti kita. Punya hati dan perasaan. Fahami apa pintanya.

Saudaraku..
Kita semua adalah sama. Yang membezakan kita adalah amalan yang kita lakukan. Sama-samalah kita saling membantu untuk menuju cinta Ilahi. Hati yang bersatu padu akan mudah mencapai apa yang kita inginkan dengan jayanya. Selesaikan sesuatu masalah dengan perbincangan yang disertai dengan tolak ansur. Sama-sama kita rasa sakit dan sama-sama juga kita merasakan manisnya.

Harap kita mampu mendidik diri kita menjadi inan yang diredhaiNya dunia dan akhirat. Amin...

Menyepi...

Salam...sebelum tu ampun dan maaf dipinta kerna saya dah lama tidak berbicara dalam blog ni. kesempitan masa and banyak perkara yang saya hadapi tahun ni. maaf sangat-sangat. harapan dengan ikhsan wireless ini saya dapat kembali berbicara. terima kasih kepada semua yang banyak memberi komen tidak kiralah sama ada positif mahupun negatif. saya terima dengan hati yang terbuka dan amat saya alu-alukan. selamat menyambut maa hijrah dan tahun baru. selami tahun ini dengan azam yang baharu! Insya Allah kita mampu jadi yang lebih baik berbanding masa silam yang telah berlalu pergi bersama hembusan bayu dingin. Amin..
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...