Tabung ayam

.......

Monday, February 21, 2011

Masihkah Ada Ruang Untukku?

Salam. Iman kita bagaimana hari ini? Adakah sihat atau sedang dimamah kulat? Harap tidak begitu dan teruslah kuat untuk menapak di bumi ciptaan Allah ini. Kita sentiasa berfikir diri kita tidak layak apabila bersaing dengan insan yang mempunyai kelebihan yang lebih menyerlah dan tidak pula kita punya. kekuatan dalaman diri kita adalah terletak dalam diri kita sendiri. Bukan pada orang lain. mengapa kelebihan insan lain kita lihat, kita terpana tetapi keebihan yang ada dalam diri kita, kita biarkan sepi.

Ruang? Apa itu ruang? Keluasan? Ruang dapat ditafsir dari pelbagai sudut. Ruang di sini membawa makna masa, kelapangan, keampunan dan ketenangan. Tidak semua insan punya ruang. Ruang untuk berehat, beribadah, beriadah dan sebagainya sedangkan semua insan diberi masa yang sama iaitu 24 jam sehari, tujuh hari seminggu, empat minggu sebulan, 12 bulan setahun dan berapa tahun untuk melengkapkan kehidupan kita? Hanya Allah yang tahu.

Kelebihan yang kita punya, berkongsilah bersama semua. Hal ini merupakan salah satu penyakit hati. Jangan kedekut kerana tidak membawa apa-apa faedah buat kita di akhirat sana. Perasaan kedekut ilmu ini akhirnya akan melahirkan satu perasaan kegelisahan dan kegusaran. Sekaya mana diri kita dengan harta yang tidak terkira andai hati gusar dan gelisah, kebahagiaan yang ingin dikecapi tidak akan datang dalam kehidupan kita. Inilah realiti. Kaya jika sakit dan tidak berdaya, tiada gunanya. Ketenangan hati umpama kesihatan rohani kita. Andai sakit rohani diri kita, maka, tiada rasa gembira dan bahagia dalam meniti kehidupan.

Berbalik kepada kedekut tadi yang mengundang penyakit hati dalam senyap. Apakah kita mahu menjalani hari mendatang dengan kemurungan? Kematian akan menjemput tanpa kita pinta. Tanpa kita benar-benar bersedia menghadapinya. Hati yang tenang mampu mengingatkan kita ke arah kematian sentiasa dan kedamaian. Masa yang kita punya kita hargai dengan sebaiknya. Ruang masih terbuka luas untuk bertaubat. Pintu taubat Allah tidak pernah tertutup untuk hamba-hamba-Nya tetapi hanya hamba-hamba-Nya yang tidak sedar akan semua itu.

Kikis penyakit hati yang dalam diam memamah punah hati kita. Hati kita hanya satu dan hargai hati yang satu itu dengan sebaiknya. Jangan biarkan kegelisahan dan kegusaran yang bersarang di dalam hati kita kerana itu hanya akan meragut kebahagiaan hidup. Penyakit hati ini dapat kita kikis dengan cara berzikir, bersedekah, melakukan amal jariah, beribadah dan yang paling mudah sekali, lemparkanlah senyuman yang paling manis mampu kita berikan kepada semua insan sebagai langkah pertama mengubah diri kita ke arah yang lebih baik. Bukan mudah untuk membersihkan hati dari penyakit-penyakit hati ini tapi berusahalah. Kuatkan iman!

Allah sentiasa bersama dengan kita. Jangan pernah merancang untuk menjemput penyakit-penyakit hati itu. Cuba untuk berperang dengan diri sendiri tatkala ego, riak, takabur, kedekut, iri hati dan dengki mula bersarang dalam hati naluri kita. Apabila semua itu mula bertandang, ingatlah kepada Allah. Lancarkan hati dengan zikir. Insya-Allah. Semua itu dapat kita lawan. Bersamalah kita membina diri menjadi muslim dan muslimah sejati.

“....Dia akan mengampuni (dosa) yang kurang dari itu, bagi siapa yang dikehendaki-Nya.” (Surah An-Nisa, ayat 48)

“Allah Penerima kasih (memberi pahala) lagi Penyantun.” (Surah At-Taghabun, ayat 17)

Saudaraku?
Kita kembali kepada diri. Masihkah ada ruang untukku? Tepuk dada, tanya iman.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...