Tabung ayam

.......

Saturday, January 8, 2011

Kita Serupa

Hari ini nak keluar. Pergi Tesco. Kononnya nak sambut hari lahir sendiri. Tua dah aku ni. Keluar dengan dua sahabat. Hari bermula sendiri. Tanpa diminta ia akan hadir dalam hidup ini. Harap hari pertama menjejak kaki ke angka baru bermula dengan baik.

Tidak lama kami berjalan-jalan. Hanya ingin menikmati ABC..Haha...Tunggu pakcik ambik kami. Alahai pak cik ni.. Lambat pulak. Tak pelah. Kami berteduh dibawah sepohon pokok rendang. Lebat daunnya. Pelik lihat pohon ini. Pokok yang sama tetapi mempunyai seribu satu warna yang berbeza. SubhanaAllah...Hati ini tersentuh melihat keajaibanNya.

Apa yang ingin saya kongsikan harap dapat dijadikan panduan bersama. Bukan ingin 'menembak' mana-mana pihak tetapi ini yang lihat. Sekadar berkongsi.

Tidak jauh dari tempat kami berteduh sementara menunggu pak cik, sepasang suami isteri sedang berbicara. Avanza berwarna emas menjadi pilihan mereka. Sedikit bertengkar tetapi menerusi pandangan kasar saya, itu adalah lumrah. Tanpa pahit, manis akan menjadi tawar. Saya hanya memandang dengan ekor mata. Mungkin bila aku dah kahwin, aku pun macam tu juga. Hanya hati berbicara sendiri. Isterinya memandang ke arah kami. Badannya sangat kurus. Seperti sedang menggendong penyakit yang memakan dirinya. Saya melemparkan senyuman.

Wanita tersebut membuka langkah ke arah kami. Hati mula tidak sedap. Wajah sugul wanita itu memberi seribu jawapan buat diri yang sedang tercari-cari jawapan. Kenapa pula ni??? Saya dan sahabat menguatkan diri untuk melemparkan senyuman walaupun hambar.

"Assalamualaikum dik... Mak cik nak minta tolong..."Wanita itu memulakan kata. Langkah katanya disusun lemah.

"Waalaikumusalam. Ya..Apa dia mak cik?" Kami cuba untuk berbicara sebaiknya.

"Mak cik nak pinjam handphone boleh? Mak cik nak telefon klinik ni. Tadi mak cik datang sana nak ambik ubat tapi mak cik kurang duit. Kebetulan kredit makcik tak ada. Boleh tak mak cik nak pinjam sekejap? Nanti mak cik bayar balik."Mak cik tersebut seperti mengharap dengan seribu harapan yang tidak pasti lagi dari kami.

Hati berat untuk memberikan pertolongan kerana kelihatannya wanita ini seperti tidak boleh dipercayai.

"Mak cik gunalah telefon ni ya?" Kami berharap wanita ini tidak mempermainkan kami. Suaminya memandang kami dengan mata yang menunjukkan ketidakpuashatiannya kepada kami. Saya hanya memandang walaupun hati kecil saya dihantui perasaan takut.

"Awak!!!Sini!!!Saya kata sini!!!"

Agak terkejut dengan tengkingan lelaki itu. Kami seperti hilang arah. Wanita itu juga sedikit terkejut.

"Sabarlah..Saya nak cuba telefon dulu." Wanita itu cuba memujuk suaminya dengan suara yang lembut tetapi nampaknya, amarah yang terbias dari wajah suaminya.

"Saya cakap ke sini!"

Mak cik tadi tetap mencuba untuk menelefon klinik tersebut malangnya tiada jawapan. Dia mengembalikan handphone kepada kami. Tidak pula dia kembali kepada suaminya malah duduk bersama kami. Juraian air matanya mulai menitis. Tanpa sebab yang kami pasti.

"Pak cik kamu tu macam tulah. Tak reti nak bersabar. Marah mak cik je." Kata-katanya terhenti di situ. Kami hanya mendengar dan memandang.

"Mak cik ni sakit. Kanser. Ubat mak cik tu mahal. Ubat tu baru habis. Mak cik tak ada duit nak beli. Tadi mak cik pengsan. Pak cik marah mak cik lagi." Air matanya terus mengalir.

Saya hampir menangis tetapi saya cuba tabah. Kami kelu untuk berkata-kata. Terlalu tersentuh dengan kesabaran wanita ini.

"Terima kasih nak ya? Mak cik dah tak tahan dengan sakit ni. Pak cik kamu tu lagi............... Mak cik orang susah."

"Sabar ya mak cik. Kami minta maaf. Kami tak dapat tolong apa-apa..." Hanya kata-kata ini yang kami mampu luahkan.

"Awak! Saya kira sampai tiga! satu...dua...."

Lelaki itu memanggil isterinya seperti wanita itu tidak berperasaan. Kalau diikutkan hati, ingin sekali kami membawa mak cik ini lari. Geram melihat wajah tidak berhati perut lelaki itu! Belum sempat kiraan ketiga, wanita itu melangkah pergi dari kami. Hanya senyuman yang dapat diberikan kepada kami sebagai tanda perkenalan.

Kami saling berpandangan. Hanya Allah yang mengerti apa yang kami rasakan. Pak cik tiba. Kami pergi dengan hati yang tidak rela. Entah apa nasib wanita itu. Tapi saya tetap memuji hatinya.

Saudaraku...
Mengapa ini yang terjadi?? Wanita dan lelaki adalah dalam aras atau tahap yang sama. Punya hati dan perasaan. Tetapi apa yang dapat kita lihat kini, mengapa maruah dan kedudukan wanita diinjak tanpa belas? Bukan saya ingin menyebelahi wanita tetapi ini realiti. Ada juga lelaki yag diinjak teutama ditempat kerja. Sekiranya lelaki itu dibawah majikan wanita, kedudukan lelaki itu dipandang rendah dan tidak pula dihormati.

Wanita?
Kita semua sama. Jangan kerana wanita sentiasa disimbolikkan sebagai lemah, kita harus membiarkan insan lain memijak kita sewenangnya dan bila kita di atas, jangan pula ingin menguasai lelaki. Kita semua sama.

Lelaki..
Pandanglah wanita sebagai rakan seperjuangan. Jangan biarkan ego menguasai diri. Perlu ada toleransinya dan kehidupan akan terus harmoni.

Suami...
Hargailah isterimu selagi punya waktu.. Dalam tidak sedar, dia banyak berkorban untuk dirimu... Jadikan isterimu sahabat dan rakan yang paling rapat dengan dirimu. Hargai segala titis peluh pengorbanan untuk dirimu...

Isteri..
Jangan kau pinta sesuatu yang tidak suamimu mampu. Jangan kau kasari jiwanya. Dia juga insan yang sama seperti kita. Punya hati dan perasaan. Fahami apa pintanya.

Saudaraku..
Kita semua adalah sama. Yang membezakan kita adalah amalan yang kita lakukan. Sama-samalah kita saling membantu untuk menuju cinta Ilahi. Hati yang bersatu padu akan mudah mencapai apa yang kita inginkan dengan jayanya. Selesaikan sesuatu masalah dengan perbincangan yang disertai dengan tolak ansur. Sama-sama kita rasa sakit dan sama-sama juga kita merasakan manisnya.

Harap kita mampu mendidik diri kita menjadi inan yang diredhaiNya dunia dan akhirat. Amin...

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...