Tabung ayam

.......

Friday, January 21, 2011

Aku gagal lagi...............

Putus asa.  Berhenti daripada melakukan sesuatu kerana merasakan kegagalan.  Kegagalan yang kita rasakan umpama sebuah batu yang amat besar yang diletakkan atas bahu kita dan tidak tergalas rasanya beban itu.  Apa yang kita mahu lakukan saat itu adalah melepaskan batu itu ke tanah dan pergi dengan senang hati. 
Ya!  Saya sendiri banyak kali gagal.  Gagal dalam belajar, hidup dan perhubungan.  Rasa sakit yang teramat sangat dan hanya kita sahaja yang tahu betapa sakitnya menusuk dihati.  Tiada siapa yang tahu dan kita berjalan sendiri.
Bagaimana ingin membuang rasa putus asa ini??  Bunuh diri?  Pergi dari insan yang kita kasihi atas sebab tak nak susahkan mereka?  Mengapa hal ini berlaku??  Siapa kita sebenarnya?  Kenapa kita disini? Ada sebab?  Atau sahaja-sahaja?
Sahabat...
Mari kita selami sejenak, siapa kita.  Sebelum itu, mari kita cari sebab atas apa jua yang kita lakukan dalam kehidupan kita tidak kiralah kerap ataupun tidak kita melakukan sesuatu perkara itu. 
Masa kita bayi, kita menangis.  Mengapa?
Masa kita nak sesuatu, kenapa kita bercakap bila hendakkan sesuatu?
Kenapa kita berjalan?
Bila kena kejar anjing, kenapa kita lari?
Bila kita sedih, kenapa kita nangis?
Bila suka, kenapa kita ketawa?
Bila kita nak dapatkan duit, kenapa kita kerja?
Kalau kita selongkar semua ni, semakin banyak persoalan yang perlu kita jawab dan yang paling utama, mengapa kita dijadikan?  Dari mana dan untuk siapa?  Andai kita tahu jawapan bagi semua persoalan ini, maka, tiada sebab mengapa kita ingin berhenti setengah jalan apabila kegagalan menjengah.
Kegagalan hanyalah ujian.  Dan ujian ini diberikan oleh Pencipta kita iaitu Allah SWT untuk menguji setakat mana ketaatan dan keimanan kita.  Dan ini merupakan tanda kasihnya kepada kita.  Dengan ujian, hubungan kita kepada Allah juga akan semakin dekat.  Terbukti benar!  Bila kita berada dalam keadaan kesusahan sudah pasti kita akan meminta bantuan sesiapa sahaja yang mampu membantu kita.  Dan bila saat ini tiba, doa merupakan jambatan permintaan kita kepada Alah.  Hubungan kita dengan dirinya juga akan semakin rapat.  Tetapi kita tidak pernah sedar ini semua.
Saya banyak kali gagal.  Putus asa?  Hanya air mata sahaja yang menemani tetapi bila ayat-ayat Allah bermain ditelinga, tenang dan terasa damainya.  Azan seumpama satu terapi menenangkan jiwa.  Alangkah bahagianya jika jiwa dan hatiku sentiasa begini.  Inilah kata-kata yang mampu saya rasakan ketika masalah melanda dan barulah saya sedar bahawa Allah tidak pernah membiarkan hamba-Nya keseorang tanpa tempat untuk bertaut.
Menangislah sepuasnya wahai sahabatku ketika berdoa.  Buang jauh-jauh rasa ego itu.  Tunduklah dengan rendah diri tanpa menghiraukan ego kita yang semakin lama memakan diri kita sendiri.  Kerana ego itu kita lemah.  Doa adalah senjata bagi setiap muslim. 
Allah SWT berfirman:
“Dan janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah SWT.”  (Surah Yusuf, ayat 87)
Allah sentiasa dengan kita cuma kita yang sentiasa meninggalkan Dia.  Bersama-samalah kita merawat hati kita apabila berdepan dengan kegagalan.  Ingat kembali mengapa kita dijadikan.  Kita akan kembali kepada Allah.  Kita dijadikan hanyalah untuk taat kepada Allah.  Dunia ini hanyalah persinggahan sementara dan tempat kita mencari bekalan untuk perjalanan kita yang seterusnya.  Hanya itu.  segala kesakitan di dunia ini hanya ujian.  Dunia umpama sebidang tanah untuk kita bercucuk tanam dan hasilnya kelak, kita akan tuai di akhirat nanti.  Adatlah andai tanaman kita ada yang mati atau diserang dengan haiwan perosak, tetapi apabila kita berjaya merawat pokok-pokok ini dengan baik, sudah pasti ia akan membuahkan hasil yang lumayan.
Allah sentiasa dengan kita.......

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...